
Saya benar-benar kagum dengan cara guru-guru saya melatih saya untuk dapat bertutur dalam bahasa Cina, saya dipaksa untuk memasuki pertandingan bercerita dalam bahasa cina, hampir menangis apabila dilatih oleh guru saya ketika itu, tetapi beliau tidak sekali berputus asa dengan saya walupun saya agak ‘lembap’. Masih saya ingat setiap kali waktu rehat, saya perlu berlatih di atas pentas dengan disaksikan oleh seluruh murid dan guru, bermula dari situlah saya dapat mengatasi rasa malu dan takut yang sering menjadi masalah besar kepada saya, saya mula mendapat keyakinan dan kekuatan untuk menggunakan bahasa cina sama seperti orang lain. Berkat kesungguhan guru-guru dan kesabaran saya, setiap tahun saya tidak pernah pulang dengan tangan kosong, pencapaian terbaik saya ketika itu adalah mendapat Johan pertandingan syarahan bahasa cina peringkat daerah semasa di Tahun 6. Bercerita tentang bertapa susahnya proses pembelajaran di sekolah cina saya cuma tahu bahawa saya perlu berusaha 2 kali ganda daripada pelajar-pelajar lain, pada permulaannya, saya perlu ‘membaca’ kamus, setiap hari ada sahaja perkataan baru yang perlu dipelajari, tambahan pula perkataan cina bukan terdiri daripada ABC tetapi setiap perkataan ada cara penulisannya yang berbeza, agak memeningkan untuk mengingatinya, terasa bagai mahu naik gila! Setiap perkataan cina boleh dibaratkan sebuah lukisan, sebutannya pula perlu dihafal kerana pada dasarnya tiada formula untuk mengetahui cara untuk menyebutnya. Untuk pengetahuan anda, untuk peringkat sekolah rendah sahaja, saya anggarkan lebih 1000 perkataan yang perlu dihafal, jika anda menganggap ianya semudah 1000 perkataan bahasa melayu, anda salah! Kerana seperti yang telah saya katakan, setiap perkataan itu adalah sebuah lukisan, terdapat cerita disebaliknya, perkataan-perkataan ini dicipta melalui cara pergerakan manusia, bentuk haiwan, pemandangan alam semulajadi dan sebagainya, ia melambangkan betapa uniknya perkataan bahasa cina dan kreativiti mereka dalam mencipta bahasa sekaligus membentuk budaya mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment